Sunday, March 11, 2012

Cegah Kanser Pangkal Rahim



Masih ramai yang memandang remeh berhubung penyakit kanser pangkal rahim walaupun ia menjadi pembunuh kedua wanita selepas  kanser  payudara. Mengikut kajian, setiap dua minit wanita mati di seluruh dunia akibat  kanser  pangkal rahim, manakala setiap empat minit kes sama berlaku di kawasan rantau Asia Pasifik.
Ada kalanya, kematian itu membabitkan wanita muda yang tidak sepatutnya menjadi mangsa kerana mereka masih diperlukan untuk mendidik anak-anak dan mengurus keluarga, tetapi penyakit berkenaan tidak memilih mangsa sama ada tua atau remaja.
Walaupun ia agak menakutkan,  kanser   pangkal rahim sebenarnya boleh dielakkan jika wanita mengambil langkah pencegahan awal menerusi suntikan vaksin bagi mencegah serangan virus Human Papillomavirus atau Papiloma Manusia (HPV) yang menjadi punca penyakit berkenaan atau menahan daripada terjadinya  kanser  pangkal rahim bagi mereka yang sudah dijangkiti HPV.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Datuk Dr Abdul Aziz Yahya, berkata antara punca berlakunya  kanser  pangkal rahim ialah wanita merokok, menggunakan pil perancang keluarga dalam tempoh lama, jangkitan HIV dan kerap melahirkan anak.
ujian pap smear“Pengambilan vaksin hanya mampu mencegah 70 peratus daripada berlakunya  kanser  pangkal rahim dan sebab itu, kita juga menggalakkan wanita supaya membuat pemeriksaan pap smear atau lumuran pap setiap tahun.
“Ini kerana, jika wanita mengalami tanda menghidap penyakit  kanser  pangkal rahim, ianya dapat dikesan lebih awal melalui lendir yang diambil ketika melakukan ujian pap smear,” katanya dalam ceramah bertajuk  '  kanser  Pangkal Rahim –  kanser  yang Boleh Dielakkan’ anjuran The New Straits Times Press (NSTP) Bhd dengan kerjasama GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Dr Abdul Aziz berkata, wanita di Malaysia masih kurang melakukan ujian pap smear dan setakat ini, tiada undang-undang yang mewajibkan mereka berbuat demikian.
Katanya, tiada alasan untuk mereka enggan menjalani ujian berkenaan berikutan kemudahan kesihatan yang disediakan kerajaan sudah bertambah baik termasuk di kawasan kampung.
“Ada lima tahap  kanser    iaitu jika berada pada tahap pertama, peluang mangsanya untuk hidup ialah 80 peratus, diikuti tahap kedua (55 peratus), tahap ketiga (25 peratus) dan hanya sembilan peratus untuk hidup bagi mereka yang berada pada tahap keempat.
“Jadi, lebih penting kita mencegah penyakit berbahaya itu lebih awal dengan mengambil suntikan vaksin dan disusuli pemeriksaan pap smear secara berkala,” katanya.
Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di kalangan 100 wanita di negara ini mendapati 23 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak perlu melakukan pap smear kerana menganggap tidak mungkin menghidap  kanser   pangkal rahim.
Antara lain, faktor kesibukan menjadi penghalang dengan 18 peratus, diikuti malu (9.6 peratus) dan tidak pernah mendengar langsung (20 peratus).
Mengulas simptom  kanser   pangkal rahim, Abdul Aziz berkata, wanita perlu melakukan pemeriksaan segera jika mengalami tanda luar biasa pada dirinya seperti haid tidak tetap, warna darah haid berbeza, berlaku pendarahan selepas bersama suami dan keluar lendir dengan warna berbeza berbanding biasa daripada vagina wanita terbabit.
“Mereka yang terdedah kepada penyakit  kanser  pangkal rahim biasanya di kalangan wanita yang kerap melakukan hubungan kelamin kerana virus HPV diperoleh menerusi hubungan seks dengan lelaki.
“Ini bermakna, mereka yang berusia 45 tahun ke bawah, dinasihat mengambil suntikan dalam bentuk tiga dos ini yang mampu bertahan sehingga minimum sembilan tahun. Mungkin harga suntikan ini agak mahal iaitu antara RM600 hingga RM1,000, tetapi ia lebih baik berbanding penderitaan yang dilalui dan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan jika sudah diserang  kanser  pangkal rahim,” katanya.

Fakta: Barah pangkal rahim

  • Punca kematian kira-kira 270,000 wanita setiap tahun.
  • Di Asia Pasifik, dianggarkan 266,000 kes  kanser  pangkal rahim disahkan setiap tahun dengan kira-kira 143,000.
  • Ujian pap smear membolehkan doktor mengesan tanda awal  kanser  pangkal rahim menggunakan prosedur kolposkopi iaitu peralatan mikroskop khas untuk melihat dinding serviks secara langsung.

No comments:

Post a Comment